Monday, September 12, 2011

SUKAN BELIA KOMANWEL IV - LAPORAN 5


KETERANGAN GAMBAR

BARISAN badminton bersama pegawai meraikan kecemerlangan merangkul tujuh pingat pada temasya Sukan Belia Komanwel IV di Isle of Man.


Badminton pastikan tujuh pingat termasuk empat emas

DOUGLAS, Isle of Man - Badminton menguasai gelanggang di Pusat Sukan Kebangsaan di sini pada Ahad dengan memastikan tujuh pingat sebagai koleksi pada Sukan Belia Komanwel IV.

Bermula dengan emas pertama menerusi gandingan beregu campuran, Teo Ee Yi-Chow Mei Kuan, Malaysia memastikan empat emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus mengatasi pungutan pada temasya tahun 2008 di Pune India yang hanya berkemampuan memperoleh tiga emas.

Dua jurulatih badminton, Yap Kim Hock dan Woon Sze Mei bergandingan memastikan kegarangan di gelanggang dengan tidak menafikan sesekali menghadapi tekanan.

''Tugas kami sudah selesai dan tujuh pingat memang tidak diduga sama sekali. Kemantapan pemain akan diasah lagi untuk Kejohanan Remaja Dunia di Taipei November ini,'' kata Kim Hock.

Ee Yi-Mei Kuan mengungguli acara beregu campuran menumbangkan pasangan India, Srikanth Kidambi-Maneesha Kukkpalli dengan 18-21, 21-16, 21-8. Turut sama menyumbang emas ialah perseorangan lelaki pilihan pertama temasya, Zulfadli Zulkiffli yang mengatasi musuh ketat dari India, Sameer Verma dengan 21-16, 17-21, 21-15.

Pasangan Mei Kuan-Lee Meng Yean pula mengatasi rakan sepasukan, Sonia Cheah-Yang Li Lian 21-17, 21-8 untuk emas ketiga manakala pingat kejuaraan keempat melalui pasangan remaja lelaki utama dunia, Nelson Heg-Ee Yi yang menumbangkan Ryan McCarthy-Tom Wolfenden (England) 24-22, 21-16.

''Tidak terkata, mereka menyumbangkan tanggungjawab besar untuk kepuasan semua pihak,'' kata Sze Mei.

Terdahulu Nelson-Meng Yean memenangi gangsa beregu campuran dalam pertemuan dengan McCarthy-Emily Westwood dari England, 21-14, 21-10. Dalam babak akhir perseorangan wanita, Sonia tumpas kepada pilihan pertama, Pusarla Sindhu dari India dengan 20-22, 8-21. Li Lian pula tersungkur kepada Kirsty Gilmour dari Scotland 16-21, 20-22 bagi penentuan gangsa.

Dalam berbasikal kriterium, pelumba perempuan, Ju Pha Som Net berkedudukan tangga ke-11 manakala Hamdan Hamidun di tempat ke-24 pertarungan lelaki.

Tiga perenang layak ke peringkat akhir. Bagaimanapun Erika Kong Chia Chia tercorot acara 200m kuak dada perempuan manakala Tern Jian Han tempat keenam 200m kuak kupu-kupu lelaki. Chi Chia Khian pula dibatalkan renangan kerana masalah teknikal dalam acara berkenaan.


ROSMANIZAM ABDULLAH
Ketua Kontinjen Malaysia
Sukan Belia Komanwel IV
di Isle of Man

No comments:

Post a Comment

Please be moderate and respect each other when leave your comments in this blog. The objective of this blog is to promote Pelapis Program not to discuss any irrelevant issues other the sports. All positive comments and suggestion are always welcome.