Prestasi Kontinjen Kebangsaan di Sukan SEA ke-27
Saya mengucapkan tahniah kepada kontinjen kebangsaan atas prestasi keseluruhan di Sukan SEA ke-27 di Naypyidaw, Myanmar. Terutamanya, kejayaan atlet-atlet yang telah menyumbang pingat amat membanggakan. Kontinjen kebangsaan telah melepasi sasaran 40 pingat emas yang telah saya umumkan dengan meraih 43 emas, 38 perak dan 75 gangsa.
Satu lagi perkembangan yang membanggakan saya ialah prestasi atlet-atlet pelapis negara. Saya pernah sebut bahawa Sukan SEA ini merupakan medan terbaik untuk mendedahkan para atlet muda kepada persaingan di peringkat antarabangsa. Para atlet pelapis di bawah program MSN telah berjaya menyumbang 9 emas, 4 perak dan 12 gangsa. Ini merupakan prestasi pelapis yang terbaik dalam sejarah penglibatan Malaysia dalam Sukan SEA. Saya telah minta MSN memperhebatkan lagi program pelapis supaya kita tidak tercari-cari siapa bakal muncul sebagai juara-juara masa depan selepas barisan atlet elit yang sediada bersara kelak.
Walaupun prestasi kontinjen kebangsaan melepasi sasaran rasmi, kita juga harus mengakui realiti bahawa secara keseluruhan, Malaysia cuma duduk di tangga kelima keseluruhan. Selain dari 'kuasa' tradisi Sukan SEA seperti Thailand dan Indonesia, kini muncul negara-negara seperti Vietnam dan Myanmar yang juga mendahului kita dari segi jumlah pingat yang dipungut.
Kita juga harus mengakui kemerosotan yang telah bermula beberapa tahun lepas dalam sukan-sukan yang boleh menyumbang banyak pingat seperti olahraga dan renang. Satu ketika dahulu Malaysia mendominasi sukan-sukan ini diperingkat Asia Tenggara.
Selain itu, sukan-sukan ikonik Malaysia seperti takraw dan badminton juga menyaksikan pretasi yang agak mengecewakan.
Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang apa yang sudah berlaku. Sebagai Menteri Sukan, saya nak pandang ke hadapan dan memberi tumpuan kepada apa yang kita boleh buat untuk mengubah tren kemerosotan dalam sukan-sukan ini dan kembalikan Malaysia sekurang-kurangnya sebagai 'regional powerhouse'.
Sebaik sahaja tamat Sukan SEA kali ini, saya telah minta MSN buat post-mortem serta merta dan kemukakan program-program khas bagi membangunkan semula sukan-sukan tersebut. Contohnya, MSN akan kerjasama rapat dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) KOM dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk melaksanakan program pembangunan khas bagi olahraga dan renang. Program pembangunan di peringat daerah dan negeri akan diperbanyakkan untuk mencari lebih ramai lagi bakat baru. Barisan jurulatih akan ditambah dan diperkasa melalui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan kepakaran luar negara juga akan ditambah untuk acara-acara tertentu.
Saya juga telah mengumumkan kesediaan MSN untuk membantu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam menyelamatkan sepak takraw. Saya harap meraka akan berkerjasama dengan MSN dalam program khas yang akan dicadangkan bersama untuk mencapai sasaran pingat emas di Sukan SEA 2017 dimana Malaysia akan menjadi tuan rumah.
Sekali lagi, tahniah pada kontinjen Malaysia - kepada ketua kontinjen, para pegawai, jurulatih dan atlet. Semoga tahun 2014 akan membawa banyak lagi kejayaan sukan untuk negara.
Menteri Belia dan Sukan
23 Disember, 2013
No comments:
Post a Comment
Please be moderate and respect each other when leave your comments in this blog. The objective of this blog is to promote Pelapis Program not to discuss any irrelevant issues other the sports. All positive comments and suggestion are always welcome.