Thursday, December 26, 2013

KEM BAKAT BERBASIKAL TREK 2013 - LAPORAN HARI KETIGA ( 25 DISEMBER 2013 )

Salam,

Kem Bakat Berbasikal Trek 2013 bersambung pada hari ketiga. Sepertimana kelaziman, sesi pagi dimulakan dengan perhimpunan pagi atlet, jurulatih dan pegawai. Slot pagi juga turut diselitkan dengan sesi senaman pagi.  Sesi latihan trek bermula pada jam 8.00 pagi dengan latihan teknik sprint 200m dan teknik team pursuit.

Pada sesi petang, latihan diteruskan dengan teknik team sprint.  Pertandingan berbentuk mini game yang diubahsuai iaitu motor pacing juga turut diadakan. Pertandingan ini ialah untuk mengasah para atlet bagi memperkemaskan teknik pecutan.

Sesi malam bermula pada jam 8.00 malam dengan slot bersama ikon. Ikon undangan bagi kem kali ini ialah lagenda basikal negara iaitu Dato Ng Joo Ngan yang berkongsi pengalaman beliau yang bermula pada tahun 1962 dalam sukan berbasikal sebagai atlet dan juga jurulatih. Untuk rekod , beliau merupakan pemenang pingat Emas dan Perak Sukan Asia Bangkok 1970 bagi acara 200km lumba jalanraya dan 200km lumba jalanraya berpasukan. Sesi ini dijalankan secara santai dengan atlet diberi peluang untuk mengemukakan soalan kepada beliau.

 Hari ketiga berakhir pada jam 10.30 malam dan akan bersambung pada hari keempat kem.

Sekian, laporan hari ketiga dari Velodrome Cheras.


KEM BAKAT BERBASIKAL TREK 2013 - LAPORAN HARI KEDUA ( 24 DISEMBER 2013 )

Salam,

Hari kedua Kem Bakat Berbasikal Trek 2013 bersambung pada hari kedua dengan acara perhimpunan pagi bagi atlet, jurulatih dan pegawai pada jam 7.30 pagi. Sesi teori dan praktikal ' Bike Fit ' bermula pada jam 8.00 pagi dengan dikendalikan oleh Pegawai dari Unit Biomekanik ISN iaitu En. Shahrul. Sesi ini secara teori menerangkan berkaitan ukuran basikal yang sesuai bagi atlet. Pihak ISN juga turut membawa perkakasan dan perisian ( bike fit digital ) khas bagi menjalankan sesi ini.

Pada sesi petang, sesi latihan di trek dijalankan. Pengisian sesi latihan ini ialah bagi mendedahkan para atlet dengan teknik sprint dan juga endurance. Atlet diajar teknik warming up di trek,  teknik flying 200 meter, teknik melakukan standing start dan rolling start.

Sesi malam bermula pada jam 8.00 malam dengan slot berkaitan penerangan berkaitan pengenalan dan undang - undang velodrome. Sesi ini dikendalikan oleh En Soud Hussin.

Secara keseluruhannya, para atlet berada dalam keadaan baik dan program yang dirancang berjalan lancar. Hari kedua berakhir pada jam 9.00 malam dan akan bersambung pada hari ketiga kem.

Sekian, laporan hari kedua dari Velodrome Cheras.

--

Wednesday, December 25, 2013

Tasmania Carnival Series 2013/2014


Tarikh : 24 Disember 2013
Tempat: KLIA dan Melbourne Airport

Salam tuan

Hari seramai 15 orang jurulatih dan atlet berbasikal trek remaja telah berangkat menyertai kejohanan Tasmania Carnivals series 2013/2014. Atlet atlet yang terpilih adalah terdiri daripada atlet atlet yang berusia diantara 15 hingga 17 tahun yang terdiri daripada Program Pelapis Kebangsaan, Serantau dan juga negeri dan telah dikumpulkan di MSN bagi menjalani latihan sepenuh masa bermula pada awal Disember yang lalu.

Kesemua atlet atlet telah dipilih melalui kejohanan kejohanan trek remaja tempatan dan paling menariknya kesemuanya kali pertama menyertai kejohanan ini..

Kejohanan ini juga sebagai salah satu medan persiapan latihan pertandingan bag menghadapi kejohanan Asian Junior Cycling 2014. Berikut adalah senarai nama jurulatih dan atlet yang ke kejohanan tersebut.

Jurulatih
Muhd Firdaus Dawod - PLN Johor
Muhd Azri Jusoh-PLN Perlis

Mekanik
Muhd Mustaqim Abd Kadir

Atlet
Muhd Fadhil Mohd Zonis- Pelapis kebangsaan
Muhd Shahriz Afendi Mohd Shahnaz - Pelapis kebangsaan
Muhd Daniel Haikal- Pelapis Kebangsaan
Akmal Hakim Zakaria- Pelapis kebangsaan
Muhd Najib Ismail -serantau Ipoh
Muhd syahir-Serantau Ipoh
Muhd Amir Imran Norahdi-Serantau Ipoh
Muhd Izat Tolha-Selangor
Muhd Khairil Nizam Rasol- Johor
Nurul Izzati Zaini-Straleader Melaka
Nur Aisyah Muhd Zubir- ASZU
Nur Azrenna Ahmad Jumry- ASZU

Pasukan ini telah bertolak pada jam 11.45 pm dengan menaiki pesawat MH 0149 dan sampai di melbourne pada jam 10.30 pagi waktu di sana dan bertolak ke launceston pada jam 5.00 petang.
Kesemua atlet berkeadaan amat baik walaupun nampak keletihan menempuhi perjalanan yang jauh. Pelumbaan akan bemula pada 27hb di latrobe Burnie.

Memandangkan jadual penerbangan ke launceston pada sebelah petang saya bersekempatan meninjau rumah penginapan atlet elit dan sempat juga bertemu dengan pelumba sensasi negara iaitu Azizul Hasni Awang.. 3 atlet program Pelapis Kebangsaan dan serantau yang menjalani latihan disana iaitu Muhd Farid Razali dan Muhd Aele Safri Rusli serta Muhd Shah Firdaus  juga berada didalam keadaan baik ...

Sekian laporan ringkas dari Tasmania.

Tuesday, December 24, 2013

KEM BAKAT BERBASIKAL TREK 2013 - LAPORAN HARI PERTAMA ( 23 DISEMBER 2013 )

Salam,

Sepertimana makluman, Kem Bakat Berbasikal Trek 2013 sedang berlangsung seperti ketetapan berikut :

Tempat : Velodrome Cheras, Kuala Lumpur

Tarikh : 23 - 29 Disember 2013

Tujuan kem ini dijalankan ialah untuk memberi pendedahan latihan yang lebih sistematik kepada semua atlet terbaik Berbasikal Pelapis Negeri. Turut dilibatkan ialah PPN dan semua JPM dan JSM negeri yang terpilih sebagai salah satu ' refresher course ' kepada semua JSM / JPM. Kem ini akan dikendalikan oleh Jurulatih Pelapis Kebangsaan iaitu En Suod Hussin. Berikut adalah merupakan statistik penglibatan atlet, JSM/JPM serta pegawai bagi kem ini :

Atlet : 31 orang ( 17 lelaki dan 14 wanita )
Jurulatih : 2 Jurulatih Pelapis Kebangsaan, 1 Jurulatih Pelapis Serantau, 5 JPM negeri, 7 JSM negeri
PPN : 2 orang
Urusetia : 2 orang

Pada hari ini semua atlet, JPM/JSM terlibat melaporkan diri dan program bermula pada jam 8.00 malam dengan mesyuarat bersama Jurulatih Pelapis Kebangsaan bersama JPM/JSM terlibat berkaitan taklimat kem dan penerangan berkaitan jadual dan pengisian kem. Jurulatih juga dibahagikan kepada 2 kumpulan bagi mengendalikan atlet lelaki dan wanita. Sesi taklimat kem bersama atlet juga dijalankan pada jam 9.30 malam. Program pada hari kedua dijangka akan dimulakan seawal jam 7.30 pagi dengan sesi perbarisan pagi disusuli dengan bike fit ( teori dan praktikal ), latihan teknik sprint dan endurance serta sesi tayangan video berkaitan pengenalan velodrome.

Sekian, laporan hari pertama dari Velodrome Cheras.


Mohd Fairul Fadzli Bin Ahmad Muzni
Cheras

Monday, December 23, 2013

RUMUSAN PENCAPAIAN ATLET PELAPIS DI SUKAN SEA MYANMAR 2013

Berakhirlah sudah misi negara di Sukan SEA Myanmar dengan sasaran utama 40 pingat Emas dicapai ( 43 Emas ) dan majoriti kontinjen negara akan pulang ke tanah air hari ini. Bagi atlet-atlet Pelapis pula, satu pencapaian yang amat membanggakan dengan membawa pulang sebanyak 9 pingat emas, 4 pingat perak dan 15 pingat gangsa dan turut mengatasi pencapaian terbaik sebelum ini di Jakarta 2011. Berikut adalah rumusan dan pencapaian atlet-atlet Pelapis :










TAHNIAH KEPADA SEMUA ATLET, JURULATIH DAN WARGA PELAPIS DI ATAS PENCAPAIAN INI !!!



Prestasi Kontinjen Kebangsaan di Sukan SEA ke-27

Prestasi Kontinjen Kebangsaan di Sukan SEA ke-27

Saya mengucapkan tahniah kepada kontinjen kebangsaan atas prestasi keseluruhan di Sukan SEA ke-27 di Naypyidaw, Myanmar. Terutamanya, kejayaan atlet-atlet yang telah menyumbang pingat amat membanggakan. Kontinjen kebangsaan telah melepasi sasaran 40 pingat emas yang telah saya umumkan dengan meraih 43 emas, 38 perak dan 75 gangsa.

Satu lagi perkembangan yang membanggakan saya ialah prestasi atlet-atlet pelapis negara. Saya pernah sebut bahawa Sukan SEA ini merupakan medan terbaik untuk mendedahkan para atlet muda kepada persaingan di peringkat antarabangsa. Para atlet pelapis di bawah program MSN telah berjaya menyumbang 9 emas, 4 perak dan 12 gangsa. Ini merupakan prestasi pelapis yang terbaik dalam sejarah penglibatan Malaysia dalam Sukan SEA. Saya telah minta MSN memperhebatkan lagi program pelapis supaya kita tidak tercari-cari siapa bakal muncul sebagai juara-juara masa depan selepas barisan atlet elit yang sediada bersara kelak.

Walaupun prestasi kontinjen kebangsaan melepasi sasaran rasmi, kita juga harus mengakui realiti bahawa secara keseluruhan, Malaysia cuma duduk di tangga kelima keseluruhan. Selain dari 'kuasa' tradisi Sukan SEA seperti Thailand dan Indonesia, kini muncul negara-negara seperti Vietnam dan Myanmar yang juga mendahului kita dari segi jumlah pingat yang dipungut.

Kita juga harus mengakui kemerosotan yang telah bermula beberapa tahun lepas dalam sukan-sukan yang boleh menyumbang banyak pingat seperti olahraga dan renang. Satu ketika dahulu Malaysia mendominasi sukan-sukan ini diperingkat Asia Tenggara.

Selain itu, sukan-sukan ikonik Malaysia seperti takraw dan badminton juga menyaksikan pretasi yang agak mengecewakan.

Saya tidak mahu mengulas lanjut tentang apa yang sudah berlaku. Sebagai Menteri Sukan, saya nak pandang ke hadapan dan memberi tumpuan kepada apa yang kita boleh buat untuk mengubah tren kemerosotan dalam sukan-sukan ini dan kembalikan Malaysia sekurang-kurangnya sebagai 'regional powerhouse'.

Sebaik sahaja tamat Sukan SEA kali ini, saya telah minta MSN buat post-mortem serta merta dan kemukakan program-program khas bagi membangunkan semula sukan-sukan tersebut. Contohnya, MSN akan kerjasama rapat dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) KOM dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) untuk melaksanakan program pembangunan khas bagi olahraga dan renang. Program pembangunan di peringat daerah dan negeri akan diperbanyakkan untuk mencari lebih ramai lagi bakat baru. Barisan jurulatih akan ditambah dan diperkasa melalui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan dan kepakaran luar negara juga akan ditambah untuk acara-acara tertentu.

Saya juga telah mengumumkan kesediaan MSN untuk membantu Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam menyelamatkan sepak takraw. Saya harap meraka akan berkerjasama dengan MSN dalam program khas yang akan dicadangkan bersama untuk mencapai sasaran pingat emas di Sukan SEA 2017 dimana Malaysia akan menjadi tuan rumah.

Sekali lagi, tahniah pada kontinjen Malaysia - kepada ketua kontinjen, para pegawai, jurulatih dan atlet. Semoga tahun 2014 akan membawa banyak lagi kejayaan sukan untuk negara.

Menteri Belia dan Sukan
23 Disember, 2013

Friday, December 20, 2013

SENARAI PEMENANG PINGAT ATLET PELAPIS TERKINI - 19 DIS 2013

Tambahan sebanyak 3 pingat gangsa yang diperoleh semalam menjadikan jumlah pungutan pingat adalah sebanyak 9 pingat emas, 4 pingat perak dan 11 pingat gangsa. Rumusan dan senerai pemenang adalah seperti berikut :