Showing posts with label YOG. Show all posts
Showing posts with label YOG. Show all posts

Saturday, August 30, 2014

YOG NANJING 2014 : ATLET- ATLET MUDA NEGARA PULANG DENGAN KEJAYAAN DARI NAJING, CHINA

Kuala Lumpur, 30 Ogos 2014 - Hari ini kumpulan atlet serta pihak urusetia terakhir yang bertugas di Nanjing, China bagi Temasya Sukan Olimpik Remaja 2014 telah selamat tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur ( KLIA ) petang tadi. Semalam, kumpulan pertama tiba di KLIA bersama beberapa jurulatih dan disambut oleh para pegawai dari Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara. Turut hadir bersama ialah wakil dari Olympic Council of Malaysia Encik Chua Hong Tam dan jurulatih kepada pemain badminton Cheam Jun Wei.

Antara atlet yang tiba awal ialah dari sukan menembak, memanah, badminton, olahraga serta taekwondo bersama jurulatih masing-masing. Dua dari tiga atlet yang berjaya membawa pulang medal iaitu Cheam Jun Wei ( badminton ) dan Mohd Zarif ( memanah ) disambut meriah bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain. Walaubagaimanapun, pemenang pingat perak dan gangsa Loh Zhiayi ( akuatik terjun ) masih berada di Tanah besar China bagi meneruskan latihan di sana.

Pada hari yang sama sebelah malam pula, kumpulan kedua yang terdiri dari pihak urusetia iaitu Pengarah Cawangan Pelapis Encik Jefri Ngadirin serta Encik Azrul Hisyam, Encik Rashid Ramli dan Encik Izuwan Ariffin pula tiba di KLIA setelah penerbangan tertangguh seketika di Guangzhao.

Hari ini kumpulan yang terakhir juga telah tiba pada petang tadi yang diketuai oleh Chef de Mission, Cik Wong Pei Tty bersama beberapa atlet dan juga jurulatih. Antara atlet yang tiba pada petang tadi ialah atlet sukan Gimrama , Olivia Tai bersama jurulatih.

Atlet- atlet di temasya YOG 2014 di Nanjing pada kali ini berjaya membawa pulang 1 pingat emas (sukan badminton), 2 pingat perak (sukan terjun & memanah) serta satu pingat gangsa (Sukan terjun) secara keseluruhannya. Pencapaian ini sekali gus memperbaiki pencapaian di YOG Singapore 2 pingat gangsa dari sukan terjun oleh ratu terjun negara, Pandelela Rinong Pamg. Selain itu, beberapa atlet lain juga turut memperbaiki catatan terbaik masing-masing.

Syabas dan tahniah diucapkan!!
LAPORAN OLEH,
NENCY EVE GASINAU
CAWANGAN PELAPIS MSNM

Thursday, August 28, 2014

LAPORAN HARI KE - 15 YOG NANJING 2014

Loh Zhiayi adalah merupakan atlet tunggal negara yang turun beraksi pada hari ini di Olympic Sports Centre Natatorium bagi acara berpasukan campuran sukan akuatik terjun. Acara yang agak baru ini telah menyaksikan Zhiayi berpasangan dengan Alexis Jandard penerjun dari Perancis. Dengan peraturan pertandingan yang membenarkan atlet-atlet membuat pilihan sama ada ingin membuat terjunan 3m papan anjal ataupun 10m platform ini ( 3 terjunan ) , pasangan ini telah memungut sebanyak 318.20 mata dan berada di kedudukan ke 7 keseluruhan. Menutup tirai temasya kali ini dengan pencapaian pungutan pingat 1 Emas, 2 Perak dan 1 Gangsa.

Kontinjen Negara akan bertolak pulang pada 29 Ogos dan 30 Ogos 2014. Kepada semua atlet, jurulatih, Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan serta pihak yang terlibat termasuk media masa, tahniah dan terima kasih diatas kejayaan di Nanjing ini. Semoga kejayaan yang lebih gemilang akan dicapai oleh atlet Malaysia pada temasya YOG 2018 yang akan datang di Buenos Aires, Argentina.

Berikut adalah merupakan laporan prestasi keseluruhan atlet, rumusan pungutan pingat serta pencapaian atlet di temasya Sukan Olimpik Remaja Nanjing 2014 :


LAPORAN PRESTASI ATLET

Pencapaian atlet pelapis negara di temasya YOG kali ini amat membanggakan. Kesungguhan atlet-atlet muda negara bersaingan dalam acara masing-masing menentang atlet-atlet negara lain wajar di beri pujian.

Pada temasya kali ini seramai 20 orang atlet muda negara telah terpilih untuk membawa cabaran negara di temasya terbesar dunia di peringkat remaja. Penyertaan kali ini telah menunjukkan peningkatan berbanding penyertaan di YOG Singapura 2010 iaitu 13 orang.

Pencapaian kontinjen negara memunggut 1 emas, 2 perak dan 1 gangsa juga  telah megatasi pencapaian negara di temasya YOG 2010.  Ini merupakan penanda aras peningkatan prestasi atlet pelapis negara di mana mereka mampu membawa cabaran di peringkat tertinggi bila di perlukan.

Pencapaian Cheam Jun Wei dalam acara beregu campuran berpasangan dengan pemain dari Hong Kong Ng Tsz Yau adalah membanggakan dan menunjukan beliau mampu pergi lebih jauh dalam sukan badminton jika terus di beri sokongan dan dorongan oleh semua pihak. Walaupun beliau tewas di saingan suku akhir acara individu namum bakat beliau boleh terus di asah melalui sistem kejurulatihan yang lebih baik oleh BAM. Lebih banyak pendedahan pertandingan di peringkat tinggi mampu melonjakkan prestasi beliau bagi menyaingi pemain-pemain dari negara China, Jepun, Indonesia mahupun Eropah.

Loh Zhiayi menunjukkan sukan terjun tidak ketandusan bakat yang mampu menyerlah di temasya sukan antarabangsa dan satu hari nanti boleh mengantikan Pandalela Rinong ratu terjun negara. 1 pingat perak dalam acara 10m platform dan 1 pingat gangsa dalam acara 3m papan anjal sudah semestinya menunjukkan kebolehan dan kemampuan beliau untuk menyaingi atlet-atlet dari kuasa besar sukan terjun pada masa akan datang.

Semangat atlet muda negara dalam sukan memanah,  Mohamad Zarif Syahiir Zolkepli perlu di beri pujian apabila berjaya membantu pasangan beliau Cynthia Freywald dari Jerman untuk memenangi pingat perak dalam acara berpasukan campuran antarabangsa.

Jeremiah Loo Phay Zing telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 7 terbaik dunia dalam acara palang sejajar dan 8 terbaik dalam acara  kekuda berpelana daripada 41 gimnas seluruh dunia. Prestasi Jeremiah mambawa sinar baru dalam sukan gimnastik artistik negara dan mampu menjadi sandaran di saingan sukan SEA 2015 dan 2017.

Walaupun Kirthana Ramasamy dalam sukan olahraga gagal untuk memperbaiki catatan peribadi beliau dalam acara lompat kijang namun kejayaan beliau menempatkan diri dalam kelompok 8 terbaik dunia di saingan peringkat akhir perlu di beri pujian.

Olivia Tai Qing Tong telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia sukan Gimrama yang mana secara tradisinya di kuasai oleh atlet-atlet dari Rusia dan Eropah Timur.

Dalam sukan renang atlet muda Welson Sim telah berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 800m gaya bebas dengan catatan masa 8:15.84s. Pada masa yang sama juga beliau telah memperbaiki catatan terbaik peribadi beliau dalam acara 400m dn 200m gaya bebas. Angela Chieng Chui Pei juga turut berjaya memperbaiki catatan peribadi dalam acara 400m gaya bebas wanita.

Bagi atlet-atlet muda lain, mereka perlu meneruskan latihan secara bersungguh-sungguh dan memperbaiki prestasi masing-masing bagi memastikan mereka tidak ketinggalan. Pengalaman bertanding di YOG perlu dijadikan panduan untuk bersaing di temasya-temasya pada masa akan datang.

Pihak Majlis Sukan Negara melalui program Pelapis telah mengadakan kerjasama yang erat bersama persatuan sukan kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Sukan Negeri di seluruh negara sejak tahun 2007 lagi bagi melaksanakan program latihan yang lebih tersusun di pelbagai peringkat.

Pada masa yang sama pihak Majlis juga telah menubuhkan Akademi dan Pusat Latihan Serantau di Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Johor bagi mempertingkatkan prestasi atlet-atlet muda negara melalui latihan yang lebih sistematik. Program Pelapis Kebangsaan juga telah di laksanakan sejak tahun 2007 bagi mengumpulkan atlet muda terbaik negara di Bukit Jalil.

Manakala di peringkat negeri pula sebanyak 269 buah pusat latihan negeri telah dibuka  dibawah kendalian 432 orang jurulatih dalam dan luar negara melibatkan atlet seramai 7187 orang. Ini merupakan 'feeder' kepada program latihan di peringkat pelapis serantau, pelapis kebangsaan dan elit.

Loh Zhiayi ( terjun ), Zariff ( memanah ), Olivia ( gimrama), Jeremiah (gimnastik), Asri dan Syazrin ( pelayaran ) merupakan produk langsung dari program Pelapis Negeri yang di laksanakan di seluruh negara bersama persatuan sukan kebangsaan/ negeri dan Majlis Sukan Negeri. Mereka telah di serapkan ke program Pelapis Kebangsaan dan Elit apabila menunjukan prestasi yang memberangsangkan di peringkat negeri.

Pihak Majlis juga sudah memulakan program Penggalakan Sukan (PPS) pada tahun 2012 di seluruh negara melibat 6 jenis sukan bagi mengembangkan bakat di peringkat akar umbi supaya lebih ramai atlet muda berumur 7-15 tahun diberi peluang latihan secara sistematik di awal penyertaan mereka. Sebanyak 63 buah pusat latihan telah dibuka dikendalikan oleh seramai 72 orang jurulatih sambilan melibatkan 749 orang atlet.

Pada masa yang sama sebagai persiapan untuk menghadapi Temasya Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, pihak Majlis akan mengadakan perbincangan bersama pihak persatuan yang terlibat seberapa segera agar program latihan dapat di mulakan seawal tahun 2015 nanti.

Kelompok atlet muda berumur 14-15 tahun ini akan di kenalpasti dan ditempatkan secara sepenuh masa di program Pelapis Kebangsaan. Jurulatih-jurulatih khusus perlu di lantik untuk mengendalikan latihan kumpulan atlet ini. Mereka akan diberi latihan yang bersesuaian agar dapat melepasi kelayakan pada pertandingan kelayakan yang akan di adakan pada tahun 2017 dan awal 2018.











Sekian laporan dari Nanjing China.

LAPORAN OLEH,
AZRUL HISYAM
KETUA UNIT PELAPIS KEBANGSAAN
CAWANGAN PELAPIS MSNM






Tuesday, August 26, 2014

LAPORAN HARI KE - 14 YOG NANJING 2014

Setelah 3 hari berturut-turut kontinjen negara berjaya menambah pungutan pingat di temasya ini, hari ini kecemerlangan tersebut tidak dapat diteruskan di bumi Nanjing ini. Pemanah Pelapis Kebangsaan Mohd Zariff Zulkepeli telah gagal untuk menyaingi pemanah ranking pertama remaja dunia daripada Korea iaitu Lee Woo Seok. Pemanah berpengalaman ini mudah menewaskan Mohd Zariff dengan kiraan mata 6-0 di Fangshan Archery Field.

Olivia Tai Qing Tong memulakan cabaran pada hari ini di Gymnasium Olympic Sport Centre bagi acara individual all round sukan gimrama. Melalui keempat-empat apparatus yang dipersembahkan oleh beliau gagal memikat juri untuk berada sekurang-kurangnya 8 terbaik dan seterusnya layak ke pusingan akhir esok. Olivia dan jurulatihnya kelihatan kecewa selepas tamat pertandingan petang tadi. Namun, pencapaian beliau harus dipuji daripada kejohanan kelayakan sehingga selesai temasya ini. Tumpuan seterus beliau adalah di temasya Sukan Asia di Incheon pada bulan September nanti.

Sukan golf telah menutup tirai pada hari ini dan pasangan negara berada ditempat ke 19 keseluruhan. Berikut adalah merupakan keputusan pertandingan 26 Ogos dan jadual 27 Ogos untuk rujukan.


Sekian laporan dari Nanjing China.

LAPORAN OLEH,
AZRUL HISYAM
KETUA UNIT PELAPIS KEBANGSAAN
CAWANGAN PELAPIS MSNM.

Monday, August 25, 2014

LAPORAN HARI KE - 13 YOG NANJING 2014


Hanya 3 jenis sukan sahaja yang melibatkan atlet-atlet negara pada hari ketiga belas kontinjen negara berada disini. Sehingga 24 Ogos 2014, sebanyak 1 pingat emas dan 2 pingat perak telah berjaya dipungut oleh atlet-atlet remaja Negara melalui sukan badminton, memanah dan akuatik terjun.

Acara 3m Papan Anjal bukannlah kegemaran bagi atlet cilik Loh Zhiayi yang telah memenangi pingat perak semalam. Semasa kejohanan kelayakan YOG di Mexico yang lalu, beliau tidak berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir ( acara 3m Papan Anjal ) malahan pada peringkat awal temasya ini, nama beliau tidak disenaraikan oleh FINA. Namun, memandangkan terdapat lebihan kuota penyertaan, nama beliau didaftarkan saat-saat akhir oleh pihak penganjur. Kecemerlangan terjunan beliau semalam berjaya dikekalkan hari ini dan sebutir lagi pingat gangsa telah berjaya diraih di Olympic Sport Centre Natatorium. Menurut beliau, tiada sebarang sasaran peribadi diletakkan bagi acara ini kerana beliau sendiri tahu prestasinya jika dibandingkan dengan penerjun-penerjun yang lain. Beliau juga tidak menafikan selepas kejohanan kelayakan tersebut, jurulatih telah menggandakan latihan harian beliau  bagi memastikan prestasinya di berada di tahap yang lebih baik. Hari ini ternyata usahanya dengan dibantu oleh jurulatih serta sokongan daripada semua pihak telah membuahkan hasil.

Kirthana Ramasamy telah turun beraksi di pusingan akhir lompat kijang di Olympic Sport Centre pagi tadi. Catatan terbaik lompatannya sebelum ini iaitu 13.06m tidak dapat dilakukan hari ini dan hanya menduduki tempat ke 5 dengan catatan 12.64m. Cuaca sejuk ( hujan sebelah pagi ) serta kecederaan lutut yang masih belum pulih sepenuhnya mungkin mengganggu lompatan beliau.

Bagi sukan golf pula, prestasi pasangan Negara Kan Kah Yan dan Low Khai Jie menurun pada hari ini di Zhongshan International Golf dan kedudukan mereka berubah ke tempat ke 23 hari ini. Berikut adalah jadual pertandingan bagi 26 Ogos dan keputusan 25 Ogos 2014 :













 Sekian laporan dari Nanjing China.

LAPORAN OLEH,
AZRUL HISYAM
KETUA UNIT PELAPIS KEBANGSAAN
CAWANGAN PELAPIS MSNM

LAPORAN HARI KE - 12 YOG NANJING 2014

Mohd Zarif Zolkepeli telah menghadiahkan pingat perak kedua Negara hari ini di Fangshan Archery Field melalui acara berpasukan campuran. Beliau dan pasangannya iaitu Cynthia Freywald dari Germany telah memulakan cabaran peringkat 1/8 Elimination pada sebelah pagi dengan baik apabila telah menewaskan lawan dari Germany / Tongga dengan 'shoot off' 19 - 17. Kemaraan pasangan ini tidak dapat disekat oleh lawan mereka diperingkat suku akhir dan separuh akhir pada sesi sebelah petang walaupun keadaan cuaca yang tidak begitu baik (hujan dan angin). Namun, kehebatan lawan dari China/ Filipina membantutkan hasrat pemanah negara untuk membawa pulang pingat emas kedua di peringkat akhir apabila tewas 0-6. Namun, kedua-dua pasangan ini telah menunjukkan prestasi yang begitu cemerlang dan pada masa yang sama juga bakat yang ada pada Mohd Zariff ini harus digilap bagi meneruskan kecemerlangan negara dalam sukan memanah ini.

Pasangan golf remaja negara masih belum mampu mencipta kejutan di temasya ini apabila hanya berjaya menghabiskan cabaran hari ini ditempat ke-21. Begitu juga dengan nasib pelayar muda negara di Jinniu Lake apabila hanya berada ditempat ke 6 ( Nor Shazrin ) dan 8 ( Asri Azman ). Sekiranya 2 protes yang dibuat oleh pihak lawan tidak diambil kira, sekurang-kurangnya satu pingat mampu diperoleh atlet pelayaran ini. Satu pengajaran yang baik buat pelayar ini dan mereka perlu lebih berhati-hati dan peka dengan taktik lawan semasa perlumbaan.

Lompatan 'Arkansas' tunggangan Praveen Nair Mathavan pada pusingan akhir hari ini tidak begitu baik apabila beliau berada di tempat ke 8 keseluruhan di Xinzhuang Equestrian. Bagi sukan gimnastik pula, Jeremiah Loo Phay Xing tidak dapat menandingi kehebatan lawan di peringkat akhir acara 'Parallel Bar' di Olympic Sports Centre. Acara dan sukan ini masih didominasikan oleh gimnas-gimnas dari Eropah dan sebenarnya kita boleh berbangga kerana bagi acara ( disiplin ) ini, Jeremiah adalah merupakan diantara 7 gimnas terbaik di dunia.

Menutup cabaran pada hari ini dengan pungutan pingat kontinjen negara sebanyak 1 Emas dan 2 Perak. Ini adalah pencapaian yang lebih baik pada temasya di Singapura pada tahun 2010 yang lalu. Berikut adalah jadual ( 25 Ogos ) dan keputusan hari ini untuk rujukan.
Sekian laporan dari Nanjing China.

LAPORAN OLEH,
AZRUL HISYAM
PENGURUS SUKAN PELAPIS NEGERI
CAWANGAN PELAPIS MSNM

Sunday, August 24, 2014

KEM BAKAT SUKAN MENEMBAK SIRI 1 2014-HARI PERTAMA

Tempat : Bandar Indera Mahkota,Pahang
Tarikh : 23 Ogos 2014

Satu Kem Bakat Menembak Siri 1 telah diadakan di Lapang Sasar Kompleks SUKPA Pahang. Sebanyak 12 negeri dari seluruh Malaysia dengan penyertaan seramai 40 orang atlet dengan pecahan 21 wanita dan 19 lelaki dari acara pistol dan rifle telah terpilih untuk menyertai kem ini. Manakala seramai 13 org jurulatih dan pegawai USPTN telah dipertanggungjawabkan untuk membantu melaksanakan kem ini dengan baik.

Hari ini merupakan ketibaan atlet-atlet negeri dimana kebanyakan tiba pada sebelah petang dan kesemua atlet, jurulatih dan pegawai telah ditempatkan di Hotel City Times yang jaraknya hanya 4 kilometer dari Lapang Sasar. Tiada masalah berkenaan perjalanan atlet-atlet dari negeri masing-masing dan keadaan penginapan untuk atlet juga dilaporkan baik.

Pada sebelah malam, sesi pengenalan Kem Bakat Sukan Menembak dan aktiviti sesi suai kenal atlet dan jurulatih juga telah dilakukan. Taklimat berkenaan jadual penuh kem juga telah diberikan dan semua yang terlibat telah memberi kerjasama yang baik.

Sekian terima kasih

LAPORAN OLEH,
DINIE SUHAMI
PENGURUS SUKAN PELAPIS NEGERI
CAWANGAN PELAPIS MSNM

Saturday, August 23, 2014

LAPORAN HARI KE - 11 YOG NANJING 2014


Pingat emas yang diperoleh oleh kontinjen negara melalui atlet badminton Cheam Jun Wei semalam seakan-akan memberi dorongan kepada penerjun wanita, Loh Zhiayi hari ini. Jalur gemilang buat pertama kalinya dijulang di Nanjing ini walaupun pingat emas diperoleh semalam melalui acara bergu campuran (antarabangsa), membuatkan atlet elit ini begitu terharu apabila terjunannya meletakkan sebegai pemenang pingat perak bagi acara 10m platform wanita. Lebih membanggakan apabila beliau turut menewaskan penerjun dari Mexico yang juga pemenang pingat perak di temasya sukan Olimpik London. Namun, kehebatan penerjun China memang tidak dapat digugat oleh mana-mana penerjun lain.

Atlet olahraga Norshafee (lompat tinggi) dan Mohd Rizzua Haizad (berpagar) telah menamatkan cabaran di temasya ini apabila masing-masing telah mencatatkan 2.02m bagi acara lompat tinggi dan 13.90s bagi acara lari berpagar.

Cuaca yang tidak menentu di Jinniu Lake menyebabkan perlumbaan terpaksa ditangguhkan ke esok. Keputusan penangguhan ini tidak memberi kelebihan kepada pelayar negara bagi acara Byte CII ini kerana kedua-dua mereka perlu memungut seberapa banyak mata yang boleh untuk mengatasi pihak lawan. Buat masa sekarang, Nor Shahzrin menduduki tempat ketujuh dan Asri Azman I tempat ke 11.

Mohd Zhariff Shahir turut mencipta kejayaan di Fangshan Archery Field apabila beliau Berjaya menewaskan lawan dari Slovakian dengan kiraan mata 6-2 dan layak ke pusingan 1/8. Pemanah Pelapis Kebangsaan ini nyata tenang dengan panahan yang konsisten. Diharapkan agar prestasi atlet ini dapat diteruskan dalam pusingan seterusnya.

Acara Jumping Individu bagi sukan equestrian pula bermula hari ini. Praveen Nair dengan tunggangannya Arkansas beraksi agak baik dan layak ke pusingan kedua ( akhir ) esok petang di Xinxhuang Equestrian.

Walaupun acara pommel horse merupakan 'favourite' bagi atlet Jeremiah Loo Phay Xing bagi sukan gimnastik, kehebatan lawan tidak dapat digugat apabila persembahannya hanya mampu menempatkannya di tempat ke 8. Namun, atlet berbakat ini harus diberi lebih tumpuan untuk terus maju di kejohanan atau temasya akan datang.

Berikut adalah merupakan keputsan pertadingan bagi 23 Ogos dan jadual pertandingan bagi 24 Ogos 2014 :











LAPORAN OLEH,
AZRUL HISYAM
KETUA UNIT PELAPIS KEBANGSAAN
CAWANGAN PELAPIS MSNM

LAPORAN HARI KE - 10 YOG NANJING 2014

Kontinjen negara telah mengadakan satu majlis ringkas di perkampungan sukan pada jam 11.00 pagi tadi bagi memperingati serta menghormati peristiwa yang menimpa penumpang pesawat MH17. Ini adalah selaras dengan arahan daripada kerajaan bagi menghormati peristiwa tersebut. Chef de Mission telah mengetuai majlis ini yang turut dihadiri atlet, jurulatih serta pegawai. Al Fatihah kepada mangsa nahas tersebut.

Kem Negara di sini ceria pada hari kesepuluh di Nanjing ini apabila beregu campuran gandingan Cheam Jun Wei dan Ng Tsz Yau ( Hong Kong ) telah menyumbangkan pingat emas kepada Negara. Ternyata lawan daripada Jepun / Taipei tidak dapat mengatasi pasangan negara ini. Tahniah diucapkan kepada mereka. Walaupun status beregu campuran yang menggabungkan dua Negara ini menjadi sedikit isu dikalangan peminat badminton negara, kedua-dua mereka harus diberi pujian diatas pencapaian tersebut.

Atlet lompat kijang Negara, Kirthana Ramasamy pula telah membuat lompatan 12.49m dan seterusnya layak ke pusingan akhir. Kecederaan lutut yang dialami oleh atlet ini sedikit menjejaskan lompatan beliau dimana pencapaian terbaik beliau 13.06m yang dibuat sebelum ini boleh diperbaiki.

Pelayar muda negara pula tidak dapat beraksi pada perlumbaan ke 8,9 dan 10 hari ini kerana faktor angin. Perlumbaan tersebut ditangguhkan ke 23 Ogos 2014 ( esok ).

Dalam sukan renang, Angela Cheng pula telah memperbaiki percapaian terbaik peribadi beliau bagi acara 400m Freestyle Wanita di Olympic Sport Centre Natatorium apabila mecatatkan masa 4:26.11s. Namun, beliau tidak layak untuk bertanding diperingkat seterusnya.

Manakala di Fangshan Archery Field pula, Mohd Zarif Shahir Zolkifli telah menduduki tempat ke-17 dalam ranking round dengan mata yang diperoleh beliau 654 mata. Bagi acara mixed team pula, beliau berpasangan dengan pemanah dari German telah berjaya menundukkan lawan dari Mexico/Cuba dengan kiraan 5 -3 dan layak ke pusingan 1/18.

Keputusan pertandingan pada 22 Ogos dan jadual bagi 23 Ogos pula seperti berikut :



Sekian dari Nanjing China.

LAPORAN OLEH,
AZRUL HISYAM 
KETUA UNIT PELAPIS KEBANGSAAN
CAWANGAN PELAPIS MSNM