Wednesday, April 30, 2014

LAPORAN HARI KETIGA : KEMERIAHAN PROGRAM JANGKA PANJANG 2020/ 2024 (T20)


TARIKH : 29 APRIL 2014
TEMPAT : JANDA BAIK, PAHANG

Hari ini masuk hari ketiga para atlet, jurulatih dan urusetia berada di Janda Baik, Pahang untuk Program T’20. Hari ketiga dimulakan pada pukul 6.15 pagi dimana atlet beragama Islam solat secara berjemaah dan seterusnya ke aktiviti senmarobik sehingga 7.30 pagi.

Hari ini juga sesi Ujian Anthropometric berjalan sepanjang pagi dan petang. Atlet dibahagikan kepada 2 kumpulan dimana kumpulan pertama melakukan ujian timbang berat, tinggi dan ukuran depa. Manakala kumpulan kedua melakukan ujian ketahanan otot yang dikenali sebagai Yo Yo Test atau Bleep Test. Pada sebelah petang pula, kedua-dua kumpulan tersebut berganti pusat ujian. Sesi ini dikendalikan oleh pihak Institut Sukan Negara (ISN) dengan bantuan urusetia dan PPN dari USPTN negeri.

Sesi petang diselitkan dengan sesi riadah dimana atlet dibenarkan berjalan di sekitar lokasi program diiringi oleh PPN negeri. Setelah itu atlet kembali ke bilik dan makan malam.

Aktiviti malam bermula pada pukul 8.00 malam untuk sesi latihan dalam kumpulan. Sesi ini dikendalikan oleh En Izuwan Arifin selaku perancang aktiviti Program T’20 dibantu oleh beberapa pegawai MSN dari Cawangan hal ehwal atlet. Sesi ini menyaksikan atlet berkenalan sesama sendiri dan melakukan banyak aktiviti yang santai. Kegembiraan dan keriangan atlet terserlah apabila dapat melakukan aktiviti seperti menari, permainan dan berkenal-kenalan dengan atlet-atlet lain. Aktiviti berakhir pada pukul 10.30 malam dan ditangguh ke esok hari.

Manakala pihak urusetia pula mengadakan postmortem setelah aktiviti berakhir dan membincangkan mengenai perjalanan majlis penutup esok oleh YBhg. Dato’ Seri Zolkples Embong, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara. Melalui postmortem hari ketiga, semua aktiviti berjalan dengan lancar dan baik.


Tuesday, April 29, 2014

LAPORAN HARI KEDUA PROGRAM JANGKA PANJANG 2020 / 2024 (T'20) 2014

TEMPAT : JANDA BAIK, PAHANG
TARIKH : 28 APRIL 2014


Hari ini Program T'20 bermula secara rasmi dimana semua atlet dan jurulatih sampai ke lokasi Janda Baik, Pahang. Kaunter pendaftaran dibuka seawal 8.00 pagi dimana 3 kaunter telah dibuka bagi melancarkan proses pendaftaran. Jumlah hari ini mencatatkan seramai 19 orang jurulatih dan 422 orang atlet yang telah mendaftar secara rasmi.

Pada sebelah petang pula aktiviti bermula pada pukul 2.30 petang dimana sesi taklimat berkenaan dengan peraturan dan perjalanan program dilaksanakan oleh Encik Macklin Hamzah selaku Kem Komanden. Majlis bersama Pengarah Cawangan Pelapis dimulakan pada pukul 3.30 petang dan diteruskan dengan taklimat bertajuk 'Halatuju dan Tumpuan Atlet' oleh Ketua Unit Pelapis Kebangsaan En. Azrul Hisyam.

Seterusnya sesi bersama Dr. Velapandian Pengarah Pengarah Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi bersama Pegawai Psikologi ISN En Neo Sze Yeng untuk sesi bersama pegawai ISN. Beliau menerangkan sedikit sebanyak mengenai pengurusan psikologi atlet elit dan soal selidik berkaitan dengan psikologi.

Setelah makan malam, sesi Ice Breaking dikendalikan oleh beberapa staff MSN dari cawangan hal ehwal atlet MSN bersama Kem Komandan. Manakala barisan jurulatih bersama Pengarah Cawangan Pelapis untuk sesi perbincangan mengenai program ini.

Aktiviti hari ini berakhir pada pukul 10.30 malam dan semua atlet balik rehat ke bilik masing-masing. Manakala pihak penganjur pula mengadakan postmortem untuk mengemaskini perjalanan program untuk hari. 

Aktiviti esok akan dimulakan seawal 6.15 pagi untuk sesi solat berjemaah dan aktiviti senamrobik.


Monday, April 28, 2014

LAPORAN HARI PERTAMA PROGRAM JANGKA PANJANG 2020/ 2014 (T20)

BERMULANYA PROGRAM JANGKA PANJANG 2020/ 2024 (T20)

TARIKH : 27 APRIL 2014
TEMPAT : JANDA BAIK, PAHANG

Hari ini pasukan pelaksana Program T'20 dari Cawangan Pelapis telah bertolak sehari awal bagi persiapan menghadapi selama 3 hari Program T’20 yang julung kali dianjurkan ini. Pasukan pelaksana berkumpul seawal 9.00 pagi di MSNM dan bertolak pada 12.00 tengahari ke lokasi program.

Kebanyakan atlet yang terlibat di dalam program T’20 ini turut terlibat dengan Kejohanan Remaja Kebangsaan 2014 yang baru saja berlansung di Perlis. Sebaik sahaja KRK selesai, para atlet terus bergegas ke Janda Baik untuk menyertai program ini.

Hari ini mencatatkan seramai 205 orang atlet, 9 orang pegawai pembangunan negeri, 3 jurulatih dan 26 orang urusetia telah berada di lokasi program. Pendaftaran rasmi akan dimulakan pada pukul 9 pagi esok bersamaan dengan 28 April 2014. Semua peserta dijangka mendaftar secara rasmi pada esok hari dan akan diteruskan dengan taklimat program dan sesi bersama ISN serta Ice Breaking.