Friday, July 10, 2015

LAPORAN BENGKEL PROGRAM PENYEDIAAN ATLET DAN JURULATIH KE ARAH SUKAN SEA 2017

TARIKH : 6 - 9 JULAI 2015
MASA : 9.00 AM - 4.30 PM
TEMPAT : BILIK DAHLIA & BILIK CEMPAKA MSN

10 Julai 2015 - Pada 6 hingga 9 Julai yang lalu, satu bengkel Program Penyediaan Atlet ke arah Sukan SEA 2017 telah dikelolakan oleh Bahagian Atlet, Majlis Sukan Negara (MSN). Program ini merupakan proses penyediaan atlet bersama kesemua pemegang taruh utama bagi pelaksanaan program latihan atlet ke arah temasya Sukan Sea 2017 yang mana Malaysia akan menjadi tuan rumah.

Bengkel yang berjalan selama 4 hari ini melibatkan beberapa panel utama dimana kumpulan pertama diketuai oleh YBhg Dato' Ahmad Shapawi Ismail selaku Ketua Pengarah MSN bersama En. Ariffin Mohd Ghani (Pengarah Bahagian Pengurusan), En. Ahmad Zawawi Zakaria (Pemangku Pengarah Bahagian Pengurusan Organisasi), En. Azrul Hisyam (Ketua Cawangan Sukan Tempur), Puan Puah Pei Ling (Ketua Cawangan Sukan Air), En.  Shukri Harun (Ketua Cawangan Sukan Berpasukan) serta wakil daripada Institut Sukan Negara. Manakala kumpulan yang kedua pula diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah, Dato' Haji Ab Jalil Abdullah bersama En. Jefri Ngadirin (Pemangku Pengarah Bahagian Atlet), En. Mohd Safrushahar Yusoff (Pengarah Bahagian Paralimpik), En. Joherman Amir (Ketua Cawangan Sukan Kemahiran), En. Mohd Zaim Yusof (Ketua Cawangan Sukan Raket), En.Mohd Yazid Shoib (Ketua Cawangan Sukan Kekuatan) serta wakil daripada ISN.

Setiap wakil Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) hadir ke sesi masing-masing bagi proses penamaan dan perbincangan nama atlet dan juga jurulatih. Hari pertama (6 Julai 2015) melibatkan sebanyak 7 sukan iaitu Akuatik Renang, Terjun dan Renang Berirama, Angkat Berat, Lawn Bowls, Sepak Takraw, Gimnastik Artistik dan Gimrama, Pelayaran, serta Berbasikal.

Hari kedua (7 Julai 2015) melibatkan sebanyak 10 lagi sukan iaitu Ekuestrian dan Polo, Tenis, Pencak Silat, Boling, Skuasy, Luncur Ais, Taekwondo, Bola Keranjang, Ping Pong serta Hoki. Hari ketiga pula (8 Julai 2015) melibatkan 8 sukan iaitu Bola Sepak, Memanah, Bola Tampar, Golf, Tinju, Kriket, Lawan Pedang dan Menembak. Hari terakhir iaitu pada 9 Julai 2015 melibatkan 12 sukan iaitu Olahraga, Badminton, Wushu, Ski Air, Bina Badan, Petanque, Snuker Billiard, Hoki Ais, Karate, Bola Jaring, Triathlon serta Ragbi.

Secara keseluruhannya sebanyak 37 sukan terlibat dengan 41 jumlah disiplin sukan.
LAPORAN OLEH,
NENCY EVE
UNIT KHIDMAT SOKONGAN
BAHAGIAN ATLET, MSN