Sunday, January 1, 2012

Laporan Harian Kejohanan Berbasikal" Tasmania Christmas Carnival Series 2011"

Hari terakhir perlumbaan bagi pelumba-pelumba negara telah berlangsung di City of Burnie Cycling Club, Burnie. Kedudukan venue yang begitu hampir dengan laut telah menyebabkan suhu persekitaran yang panas dan kering pada waktu siang dan sejuk pada malam harinya. Keadaan pelumba-pelumba juga sudah agak keletihan kerana telah melalui empat perlumbaan terdahulu.

Seperti perlumbaan terdahulu, kategori junior melalui dua pelumba Mohd Firdaus Zonis dan Muhd Afiq Huznie telah terlebih dahulu membawa kejayaan. Melalui acara "Junior 1 Scratch", Muhd Afiq Huznie telah berjaya menduduki tempat kedua manakala rakan sepasukan Mohd Firdaus Zonis ditempat ketiga.

Pelumba junior tunggal negara yang bertanding didalam kategori senior, Noor Azian meneruskan langkah cemerlang dengan mendapat tempat ketiga didalam acara utama bagi kategori wanita senior iaitu "2km Wheel Race Scratch Handicap" disamping menjuarai acara "3km Women's B Grade Scratch". Bagi kategori lelaki senior, Mohamad Fakhruddin Dawod telah berjaya menduduki tempat keempat acara utama iaitu "3km Burnie Wheel Race Scratch Handicap" selain daripada rakan sepasukan Hamdan Hamidun dan juga Ahmad Fahmi yang turut layak ke final.

Didalam acara "Men's B Grade Scratch", Ahmad Fahmi telah berjaya menduduki tempat kedua manakala Hamdan Hamidun dan juga Muhd Firdaus Suardi ditempat ketiga dan keempat. Secara keseluruhannya, kesemua pelumba-pelumba junior negara telah membuktikan bahawa mereka mampu bersaing dengan pelumba-pelumba yang jauh lebih berpengalaman dan ternama diperingkat antarabangsa. Diharap pengalaman yang diperolehi semasa di kejohanan ini dapat mereka gunakan didalam Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) yang akan berlangsung pada bulan Februari nanti di Kuala Lumpur.

Sekian laporan dari Tasmania.

No comments:

Post a Comment

Please be moderate and respect each other when leave your comments in this blog. The objective of this blog is to promote Pelapis Program not to discuss any irrelevant issues other the sports. All positive comments and suggestion are always welcome.