Sunday, September 11, 2011

Basikal terlepas peluang, semua wakil badminton ke suku akhir

DOUGLAS, Isle of Man (United Kingdom) - Acara berbasikal tidak menjanjikan pingat pada hari pertama temasya Sukan Belia Komanwel IV di sini Jumaat dengan pencapaian kurang membanggakan daripada keempat-empat pelumba dalam acara ujian masa 7.5 kilometer di litar Promenade di sini.

Angin kencang dan suhu di bawah 10 darjah celsius di tepi pantai memberikan kesukaran kepada Ju Pha Som Net dan Nurul Nadia Fauzi dalam acara perempuan apabila masing-masing menduduki tangga ke-16 dan ke-17. Pengalaman bersaing dalam Kejohanan Remaja Dunia di Moscow, Russia bulan lepas juga gagal membantu Hamdan Hamidun dan Arfy Qhairant Amran dalam acara lelaki apabila ditinggalkan pada kedudukan 28 dan 33 dalam 45 peserta.

Malaysia hanya berkedudukan di tangga keenam acara perempuan dan ke-11 lelaki.

Hannah Barnes dari England merangkul emas acara perempuan manakala Alex Morgan dari Australia bergelar juara bahagian lelaki. Dalam berpasukan, Australia di tangga pertama lelaki manakala England cemerlang dalam acara perempuan.

''Kesejukan merupakan faktor kita ketinggalan tetapi ia bukan penghalang untuk mencapai keputusan baik dalam acara lepas beramai-ramai lebuh raya esok (Sabtu). Peluang lebih baik bagi kami dalam acara ini,'' kata jurulatih negara, Junaidi Nasir yang juga bekas pelumba kebangsaan.

Badminton memberikan kelegaan kepada kontinjen negara pada Jumaat apabila semua pemain layak ke suku akhir pada Sabtu.

Pilihan utama perseorangan lelaki, Zulfadli Zulkiffli layak ke suku akhir setelah menewaskan Tholego Chamo (Botswana) 21-9, 21-8 dalam pusingan ketiga. Seorang lagi pemain negara, Soong Joo Ven juga layak ke suku akhir dengan kemenangan mudah 21-1, 21-1 ke atas Mohamed Shabin (Maldives). Zulfadli akan bertemu Pratul Joshi dari India dan Joo Ven menentang pilihan kedua, Sameer Verma (India).

Pasangan Zulfadli-Joo Ven pula melakukan kejutan setelah menghumban pilihan kedua, Daniel Font-Oliver Gwilt (Wales) dengan mudah 21-9, 21-11 untuk bertemu Ryan McCarthy-Tom Wolfenden (England) dalam suku akhir. Pilihan pertama, Nelson Heg-Teo Ee Yi pula akan bersaing dengan Andries Malan-Raneshan Naidoo (Afrika Selatan).

Dalam perseorangan wanita kedua-dua pemain negara, Sonia Cheah dan Yang Li Lian mara ke suku akhir. Pada pusingan ketiga, Sonia mengatasi Saili Rane (India) 21-7, 21-10 untuk bertemu Jordan Hart dari Wales manakala Li Lian menewaskan Achini Rathnasiri (Sri Lanka) 10-21, 21-16, 24-22 bagi melawan Emily Westwood (England).

Empat lagi pasangan mara ke suku akhir iaitu Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean serta Sonia Cheah-Yang Li Lian (beregu perempuan) dan Nelson Heg-Lee Meng Yean serta Teo Ee Yi-Chow Mei Kuan dalam beregu campuran.

''Kami semakin bersemangat untuk memastikan penguasaan di gelanggang badminton pada temasya kali ini,'' kata jurulatih Yap Kim Hock.

Tern Jia Han tidak berupaya dalam saingan akhir 200 meter kuak lentang apabila hanya menduduki tangga kelapan.

ROSMANIZAM ABDULLAH
Ketua Kontinjen Malaysia
Sukan Belia Komanwel IV
di Isle of Man
Tel: +447624.305855

No comments:

Post a Comment

Please be moderate and respect each other when leave your comments in this blog. The objective of this blog is to promote Pelapis Program not to discuss any irrelevant issues other the sports. All positive comments and suggestion are always welcome.