Thursday, August 28, 2014

LAPORAN HARI KE - 15 YOG NANJING 2014

Loh Zhiayi adalah merupakan atlet tunggal negara yang turun beraksi pada hari ini di Olympic Sports Centre Natatorium bagi acara berpasukan campuran sukan akuatik terjun. Acara yang agak baru ini telah menyaksikan Zhiayi berpasangan dengan Alexis Jandard penerjun dari Perancis. Dengan peraturan pertandingan yang membenarkan atlet-atlet membuat pilihan sama ada ingin membuat terjunan 3m papan anjal ataupun 10m platform ini ( 3 terjunan ) , pasangan ini telah memungut sebanyak 318.20 mata dan berada di kedudukan ke 7 keseluruhan. Menutup tirai temasya kali ini dengan pencapaian pungutan pingat 1 Emas, 2 Perak dan 1 Gangsa.

Kontinjen Negara akan bertolak pulang pada 29 Ogos dan 30 Ogos 2014. Kepada semua atlet, jurulatih, Majlis Olimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan serta pihak yang terlibat termasuk media masa, tahniah dan terima kasih diatas kejayaan di Nanjing ini. Semoga kejayaan yang lebih gemilang akan dicapai oleh atlet Malaysia pada temasya YOG 2018 yang akan datang di Buenos Aires, Argentina.

Berikut adalah merupakan laporan prestasi keseluruhan atlet, rumusan pungutan pingat serta pencapaian atlet di temasya Sukan Olimpik Remaja Nanjing 2014 :


LAPORAN PRESTASI ATLET

Pencapaian atlet pelapis negara di temasya YOG kali ini amat membanggakan. Kesungguhan atlet-atlet muda negara bersaingan dalam acara masing-masing menentang atlet-atlet negara lain wajar di beri pujian.

Pada temasya kali ini seramai 20 orang atlet muda negara telah terpilih untuk membawa cabaran negara di temasya terbesar dunia di peringkat remaja. Penyertaan kali ini telah menunjukkan peningkatan berbanding penyertaan di YOG Singapura 2010 iaitu 13 orang.

Pencapaian kontinjen negara memunggut 1 emas, 2 perak dan 1 gangsa juga  telah megatasi pencapaian negara di temasya YOG 2010.  Ini merupakan penanda aras peningkatan prestasi atlet pelapis negara di mana mereka mampu membawa cabaran di peringkat tertinggi bila di perlukan.

Pencapaian Cheam Jun Wei dalam acara beregu campuran berpasangan dengan pemain dari Hong Kong Ng Tsz Yau adalah membanggakan dan menunjukan beliau mampu pergi lebih jauh dalam sukan badminton jika terus di beri sokongan dan dorongan oleh semua pihak. Walaupun beliau tewas di saingan suku akhir acara individu namum bakat beliau boleh terus di asah melalui sistem kejurulatihan yang lebih baik oleh BAM. Lebih banyak pendedahan pertandingan di peringkat tinggi mampu melonjakkan prestasi beliau bagi menyaingi pemain-pemain dari negara China, Jepun, Indonesia mahupun Eropah.

Loh Zhiayi menunjukkan sukan terjun tidak ketandusan bakat yang mampu menyerlah di temasya sukan antarabangsa dan satu hari nanti boleh mengantikan Pandalela Rinong ratu terjun negara. 1 pingat perak dalam acara 10m platform dan 1 pingat gangsa dalam acara 3m papan anjal sudah semestinya menunjukkan kebolehan dan kemampuan beliau untuk menyaingi atlet-atlet dari kuasa besar sukan terjun pada masa akan datang.

Semangat atlet muda negara dalam sukan memanah,  Mohamad Zarif Syahiir Zolkepli perlu di beri pujian apabila berjaya membantu pasangan beliau Cynthia Freywald dari Jerman untuk memenangi pingat perak dalam acara berpasukan campuran antarabangsa.

Jeremiah Loo Phay Zing telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 7 terbaik dunia dalam acara palang sejajar dan 8 terbaik dalam acara  kekuda berpelana daripada 41 gimnas seluruh dunia. Prestasi Jeremiah mambawa sinar baru dalam sukan gimnastik artistik negara dan mampu menjadi sandaran di saingan sukan SEA 2015 dan 2017.

Walaupun Kirthana Ramasamy dalam sukan olahraga gagal untuk memperbaiki catatan peribadi beliau dalam acara lompat kijang namun kejayaan beliau menempatkan diri dalam kelompok 8 terbaik dunia di saingan peringkat akhir perlu di beri pujian.

Olivia Tai Qing Tong telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia sukan Gimrama yang mana secara tradisinya di kuasai oleh atlet-atlet dari Rusia dan Eropah Timur.

Dalam sukan renang atlet muda Welson Sim telah berjaya memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara 800m gaya bebas dengan catatan masa 8:15.84s. Pada masa yang sama juga beliau telah memperbaiki catatan terbaik peribadi beliau dalam acara 400m dn 200m gaya bebas. Angela Chieng Chui Pei juga turut berjaya memperbaiki catatan peribadi dalam acara 400m gaya bebas wanita.

Bagi atlet-atlet muda lain, mereka perlu meneruskan latihan secara bersungguh-sungguh dan memperbaiki prestasi masing-masing bagi memastikan mereka tidak ketinggalan. Pengalaman bertanding di YOG perlu dijadikan panduan untuk bersaing di temasya-temasya pada masa akan datang.

Pihak Majlis Sukan Negara melalui program Pelapis telah mengadakan kerjasama yang erat bersama persatuan sukan kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Majlis Sukan Negeri di seluruh negara sejak tahun 2007 lagi bagi melaksanakan program latihan yang lebih tersusun di pelbagai peringkat.

Pada masa yang sama pihak Majlis juga telah menubuhkan Akademi dan Pusat Latihan Serantau di Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Johor bagi mempertingkatkan prestasi atlet-atlet muda negara melalui latihan yang lebih sistematik. Program Pelapis Kebangsaan juga telah di laksanakan sejak tahun 2007 bagi mengumpulkan atlet muda terbaik negara di Bukit Jalil.

Manakala di peringkat negeri pula sebanyak 269 buah pusat latihan negeri telah dibuka  dibawah kendalian 432 orang jurulatih dalam dan luar negara melibatkan atlet seramai 7187 orang. Ini merupakan 'feeder' kepada program latihan di peringkat pelapis serantau, pelapis kebangsaan dan elit.

Loh Zhiayi ( terjun ), Zariff ( memanah ), Olivia ( gimrama), Jeremiah (gimnastik), Asri dan Syazrin ( pelayaran ) merupakan produk langsung dari program Pelapis Negeri yang di laksanakan di seluruh negara bersama persatuan sukan kebangsaan/ negeri dan Majlis Sukan Negeri. Mereka telah di serapkan ke program Pelapis Kebangsaan dan Elit apabila menunjukan prestasi yang memberangsangkan di peringkat negeri.

Pihak Majlis juga sudah memulakan program Penggalakan Sukan (PPS) pada tahun 2012 di seluruh negara melibat 6 jenis sukan bagi mengembangkan bakat di peringkat akar umbi supaya lebih ramai atlet muda berumur 7-15 tahun diberi peluang latihan secara sistematik di awal penyertaan mereka. Sebanyak 63 buah pusat latihan telah dibuka dikendalikan oleh seramai 72 orang jurulatih sambilan melibatkan 749 orang atlet.

Pada masa yang sama sebagai persiapan untuk menghadapi Temasya Sukan Olimpik Remaja 2018 di Buenos Aires, pihak Majlis akan mengadakan perbincangan bersama pihak persatuan yang terlibat seberapa segera agar program latihan dapat di mulakan seawal tahun 2015 nanti.

Kelompok atlet muda berumur 14-15 tahun ini akan di kenalpasti dan ditempatkan secara sepenuh masa di program Pelapis Kebangsaan. Jurulatih-jurulatih khusus perlu di lantik untuk mengendalikan latihan kumpulan atlet ini. Mereka akan diberi latihan yang bersesuaian agar dapat melepasi kelayakan pada pertandingan kelayakan yang akan di adakan pada tahun 2017 dan awal 2018.











Sekian laporan dari Nanjing China.

LAPORAN OLEH,
AZRUL HISYAM
KETUA UNIT PELAPIS KEBANGSAAN
CAWANGAN PELAPIS MSNM






No comments:

Post a Comment

Please be moderate and respect each other when leave your comments in this blog. The objective of this blog is to promote Pelapis Program not to discuss any irrelevant issues other the sports. All positive comments and suggestion are always welcome.