Tuesday, August 12, 2014

MAJLIS PENYERAHAN JALUR GEMILANG TEMASYA SUKAN OLIMPIK REMAJA 2014 NANJING, CHINA

Bukit Jalil, 12 Ogos 2014 - Hari ini berlangsungnya penyerahan Jalur Gemilang kepada atlet-atlet muda negara ke Temasya Sukan Olimpik Remaja 2014 yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Encik Khairy Jamaluddin Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang bertempat di Dewan Perdana, Institut Sukan Negara. Majlis turut dihadiri oleh Yang Mulia Tunku Tan Sri Imran Ibni Tuanku Jaafar selaku presiden Majlis Olimpik Malaysia, YBhg. Dato' Seri Zolkples Embong Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara serta YBhg. Dato Dr. Ramlan Abdul Aziz Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara.

Temasya Sukan Olimpik Remaja 2014 di Nanjing, China ini akan bermula pada 16 sehingga 28 Ogos 2014 yang disertai seramai 20 orang atlet-atlet muda yang terpilih. Mereka terpilih berdasarkan ranking dan pencapaian di kejohanan-kejohanan remaja peringkat dunia dan benua. Temasya yang berlangsung empat tahun sekali ini melibatkan atlet remaja yang berumur 14 sehingga 18 tahun.

Di dalam ucapan YB Encik Khairy Jamaluddin, beliau menyatakan temasya ini merupakan satu pendedahan di tahap tertinggi kepada atlet-atlet muda negara sebagai salah satu persiapan untuk ke temasya yang lebih besar lagi dan atlet-atlet yang mewakili negara ini merupakan atlet muda yang terpilih berdasarkan pencapaian cemerlang mereka. 

Selain itu, beliau turut menambah bahawa tiada sasaran pingat yang spesifik di temasya sukan ini tetapi para atlet sekurang-kurangnya memperbaiki catatan prestasi terbaik di dalam acara masing-masing. Selain itu, ini merupakan salah satu pelaburan awal di dalam perancangan bagi melahirkan atlet cemerlang di masa hadapan bagi menggantikan para atlet yang sedia ada.

Simbolik penyerahan bendera diserahkan kepada Chef De Mission iaitu Wong Pei Tty dan disambut oleh atlet muda renang negara, Lim Ching Hwang dan diakhiri dengan laungan 'Malaysia Boleh' oleh para atlet serta semua hadirin yang hadir.
LAPORAN OLEH,
NENCY EVE
CAWANGAN PELAPIS MSNM

No comments:

Post a Comment

Please be moderate and respect each other when leave your comments in this blog. The objective of this blog is to promote Pelapis Program not to discuss any irrelevant issues other the sports. All positive comments and suggestion are always welcome.